Berita Semasa

Kes buli ALK-UPNM: Pelaku dibatalkan pelantikan, ditamatkan perkhidmatan, bayar ganti rugi

KUALA LUMPUR – Lima pelaku yang terlibat dalam kes buli tiga pegawai kadet (PK) Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerima padah apabila dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dikenakan bayaran ganti rugi terhadap kerajaan Malaysia.

Perkara itu diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan hari ini selepas Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 yang bersidang semalam meluluskan syor tersebut.

“Saya ingin menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penganiayaan dalam mana-mana institusi ketenteraan.

“Kita juga akan terus menambah baik mekanisme pencegahan bagi mengelakkan kejadian penganiayaan seperti ini berulang,” kata beliau.

Tambah Mohamed Khaled, kementeriannya juga akan memberi komitmen untuk memastikan sebarang tindakan yang bertentangan dengan etika dan peraturan yang telah ditetapkan akan ditangani dengan tegas dan keras.

“MINDEF berharap keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak serta dapat memulih dan memperkasa nilai-nilai ketenteraan (military value) yang sepatutnya diamalkan,” tegas beliau.

Pelaku yang terlibat ialah PK Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, PK Izzat Izuddin Mohammad Arif, PK Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan, PK Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi dan PK Ammar Hafiy Muhammad Habib.

Kes pertama melibatkan PK Amirul Iskandar yang telah melakukan penganiayaan kepada PK Muhammad Salman Mohd Saiful Surash melibatkan tekapan seterika ke dada mangsa dan kes itu dikesan jurulatih bertugas ALK semasa melaksanakan pemeriksaan tubuh berkala pada 28 Oktober 2024.

Dia diarahkan membayar sejumlah RM44,600.20 kepada kerajaan Malaysia akibat perbuatannya itu. Selain itu, PK Amirul Iskandar juga dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 8 November 2024 dan prosiding masih berjalan.

Kes kedua melibatkan PK Izzat Izuddin, PK Muhammad Hidayat Haqimi dan PK Ku Muhammad Irfan pula, masing-masing terlibat dalam kes penganiayaan terhadap PK Alief Ahsreihan Ahslemy.

Kesemua mereka menerima tindakan di atas termasuk membayar ganti rugi masing-masing berjumlah RM48,452.75, RM19,481.70 dan RM44,600.20.

Manakala kes ketiga melibatkan PK Ammar Hafiy yang melakukan penganiayaan terhadap PK Yeong Kian Rui menyebabkan mangsa mengalami kecederaan soft tissue injury over lower back secondary to trauma.

Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia sejumlah RM32,115.95.

Show More

Related Articles

Back to top button