119 pekerja asing ditahan dalam operasi bersepadu
KUALA LUMPUR – Seramai 119 pekerja asing ditahan dalam satu operasi di Apartmen Pandan Mewah, di sini semalam.
Pengarah Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi yang bermula 6 petang sehingga 11 malam dengan kekuatan 438 termasuk pegawai dan anggota lain-lain pangkat itu, dijalankan hasil aduan orang ramai dan risikan yang dilakukan selama hampir sebulan.
Operasi tersebut dilaksanakan secara bersepadu antara JIM bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Dalam operasi itu, katanya, seramai 400 pendatang asing diperiksa dan kesemua yang ditahan terdiri daripada 89 warga Myanmar, 14 warga Bangladesh, lapan warga Nepal dan masing-masing empat warga Indonesia dan India berumur 18 hingga 50.
Tambahnya, kebanyakan yang ditahan itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan semua mereka dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk pemeriksaan lanjut.
“Operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“Imigresen mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi pendatang atau perlu berhadapan dengan tindakan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas operasi itu, di sini semalam.
Sementara itu, menurut Pegawai Penguatkuasaan MPAJ, Mohammad Farhan Hakim Mohd Ropi, lima premis turut diperiksa dan dua daripadanya disita kerana menggajikan warga asing yang tidak mempunyai permit sah.