Lawatan delegasi Afghanistan ke KPM ikut panduan ditetapkan Wisma Putra
KUALA LUMPUR – Program kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Kementerian Pendidikan (KPM) yang diadakan pada awal bulan ini telah dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar.
Menurut KPM, ia juga telah mendapat khidmat sokongan daripada Kementerian dan agensi lain yang berkaitan bagi tujuan tapisan keselamatan dan pemantauan berterusan sehingga program selesai.
Jelas KPM, kunjungan itu adalah suatu usaha untuk menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan dalam memberikan bantuan dari segi pembangunan kapasiti serta bidang kesihatan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara itu.
“Menerusi kunjungan ini, KPM telah melaksanakan pembentangan yang memberi gambaran menyeluruh sistem pendidikan negara termasuk berkenaan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di Malaysia.
“Ia memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi.
“Ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti (Sustainable Development Goal – SDG 4) termasuk untuk menghapuskan kesenjangan jantina dan memastikan akses sama rata dan menyeluruh di semua peringkat pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta penjelasan daripada KPM berhubung lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban baru-baru ini.
Guan Eng yang juga ahli DAP berkata, lawatan itu telah menimbulkan tanda tanya memandangkan Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Afghanistan.
Pada masa yang sama, Guan Eng berkata, beliau mengambil berat terhadap isu hak asasi manusia yang melanda Afghanistan selepas Taliban melarang golongan wanita belajar di peringkat sekolah, menengah dan universiti.
Mengulas lanjut, KPM berkata, kunjungan itu turut memberi pendedahan kepada delegasi Afghanistan untuk melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabangsa.
“Delegasi Afghanistan juga telah menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut khususnya daripada aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan,” jelas KPM.
KPM menambah, komitmen pihaknya adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu yang bersedia meningkatkan kerjasama dengan Afghanistan.
“Justeru itu, Malaysia komited dan mendukung penuh hak pendidikan kepada wanita serta akses pendidikan kepada kanak- kanak perempuan,” ujar KPM lagi dalam kenyataan itu.