Berita Semasa

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut rempuh belakang trak pikap berhenti mengejut

TEMERLOH – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut akibat merempuh belakang sebuah trak pikap yang berhenti secara mengejut selepas cuba mengelak seorang wanita melintas lebuh raya.

Kemalangan berlaku di Kilometer 98.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Satu, dekat susur keluar Lanchang, dekat sini, jam 4.45 petang semalam.

Mangsa, Mohd Haziq Ramli berusia 34 tahun yang menunggang motosikal jenis
Suzuki GSX-R1000 adalah seorang pemuzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mazlan Hassan berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca apabila seorang wanita berusia 35 tahun yang memandu sebuah jip telah berhenti di tepi jalan dan melintas jalan dari sebelah kiri ke kanan jalan.

“Akibat perlakuan wanita itu, sebuah pikap telah membrek secara mengejut.
“Dalam masa sama datang sebuah motosikal dari arah belakang terus merempuh bahagian belakang pikup tersebut.

“Penunggang motosikal terjatuh di lorong laju manakala motosikal mangsa tercampak ke atas bahagian belakang pikap.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pemandu wanita tersebut yang berhenti di bahu jalan dan melintas jalan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, satu tangkapan telah dibuat terhadap wanita tersebut untuk siasatan lanjut.

“Penumpang jip seorang warga China berusia 35 tahun turut ditahan di Pejabat Trafik Temerloh untuk ditahan reman,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button