Berita Semasa

PLUS jangka jumlah kenderaan meningkat 2 juta sehari sepanjang musim Aidilfitri

BANGI – PLUS menjangkakan sebanyak 2 juta kenderaan akan menggunakan rangkaian lebuh raya itu pada setiap hari-hari puncak sempena Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, kadar peningkatan jumlah kenderaan itu adalah sekitar 20 peratus berbanding hari biasa.

Sehubungan itu katanya, PLUS telah mengambil langkah-langkah persediaan dan mengatur strategi bagi memastikan pengguna lebuh raya dapat menikmati perjalanan yang lebih selamat dan selesa.

“Ia termasuk aspek keselamatan lebuh raya, pengurusan trafik dan kesesakan, pengagihan trafik, pengurusan trafik di plaza tol, pengurusan kemudahan di kawasan rehat dan hebahan maklumat trafik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, PLUS juga memaklumkan akan bekerjasama dengan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan advokasi di lebuh raya sepanjang musim perayaan ini.

“Ia termasuk menempatkan Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) yang terdiri daripada anggota PDRM, JPJ, Angkatan Pertahanan Awam (APM), St John Ambulans, dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di 11 lokasi strategik di lebuh raya dengan lebih daripada 500 petugas,” katanya.

PLUS juga akan menempatkan 269 pasukan peronda lebuh raya merangkumi PLUSRonda dan LPT2Ronda di rangkaian Lebuhraya PLUS termasuklah di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada musim perayaan ini .

Dalam pada itu, PLUS juga menasihatkan pengguna lebuh raya untuk mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan yang akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Show More

Related Articles

Back to top button