Lelaki Nepal cuba culik kanak-kanak ditahan
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Nepal ditahan selepas dipercayai cuba menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Bunga Raya, Kuang, Sungai Buloh dekat sini.
Ketua Polis Sungai Buloh, Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang wanita berusia 47 tahun yang merupakan jiran kepada ibu kepada kanak-kanak berkenaan.
Beliau berkata, dalam kejadian pada Isnin lalu itu, pengadu terdengar jeritan suara ibu mangsa yang meminta tolong selepas anak lelakinya cuba dilarikan suspek.
“Pengadu kemudian pergi ke rumah jirannya itu dan terlihat suspek lelaki cuba melarikan diri.
“Susulan itu, pengadu bersama beberapa penduduk mengejar lelaki terbabit dan berjaya menahannya berhampiran kawasan pembuangan sampah iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian,” katanya.
Hafiz berkata, suspek kemudian berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan dengan beberapa penduduk kampung dan diserahkan kepada polis.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan kanak-kanak daripada jagaan yang sah.
Terdahulu, tular di media sosial video menunjukkan seorang lelaki ditangkap dan diikat orang ramai kerana disyaki cuba menculik seorang kanak-kanak.