PM tiba di Berlin untuk lawatan kerja lima hari
BERLIN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jerman hari ini dalam lawatan kerja rasmi selama lima hari atas jemputan kerajaan negara itu.
Anwar ditemani Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
“Kunjungan ini akan membuka peluang kepada saya dan pemimpin Jerman membincangkan kemajuan hubungan kedua-dua negara selain menerokai bentuk kerjasama baharu.
“Lawatan ini juga membolehkan saya berkongsi persekitaran kondusif negara dalam usaha menarik para pelabur berpotensi dari Jerman untuk melabur di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya.
Anwar yang disambut Duta Besar Malaysia ke Jerman Datin Paduka Dr Adina Kamarudin dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Olaf Scholz dan Presiden Frank-Walter Steinmeier.
Dalam sektor ekonomi dan pelaburan, Perdana Menteri dijadualkan melawat pelabuhan Hamburg dan wakil dari syarikat Siemens Energy, Schott AG, Infineon Technologies AG, Melexis dan Airbus.
“Doakan urusan saya dan delegasi Malaysia di Jerman dipermudahkan, Insya-Allah,” katanya.
Perdana Menteri akan turut bertemu diaspora Malaysia dan umat Islam di Jerman serta menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Sehitlik, Berlin.
Jerman adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000 manakala Malaysia menjadi rakan perdagangan terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.