Zakaria dilantik Pengarah Imigresen baharu
PUTRAJAYA – Datuk Zakaria Shaaban dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia menggantikan Datuk Ruslin Jusoh, berkuat kuasa hari ini.
Sebelum ini, Zakaria merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pelantikan Zakaria adalah bagi menggantikan Ruslin yang difahamkan akan menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang baharu.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu hantaran di akaun rasmi Facebook miliknya memaklumkan, pihaknya mengucapkan tahniah atas pelantikan Zakaria sebagai Ketua Pengarah Imigresen
“Kami warga JIM mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas dengan jayanya,” kata hantaran berkenaan, hari ini.
Dalam pada itu, JIM menerusi hantaran lain turut memberikan penghargaan kepada Ruslin atas tugas yang dilaksanakan sepanjang menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah.
“Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan atas jasa serta khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Imigresen,” kata hantaran itu.