Jenayah & Mahkamah

Imigresen lumpuhkan sindiket perjudian warga asing

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket perjudian yang didalangi oleh warga asing di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor baru-baru ini menerusi Operasi Khas.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, hasil serbuan selama dua hari itu telah membawa kepada penangkapan 15 orang terdiri daripada 12 lelaki dan 3 perempuan warga asing serta seorang warga tempatan.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen.

“Pemeriksaan di lokasi tersebut telah menahan 3 lelaki warganegara Indonesia, 1 lelaki warganegara Bangladesh, 2 wanita warganegara Indonesia berusia antara 25 hingga 40 tahun yang tidak memiliki sebarang pas yang sah.

“Mereka bekerja sebagai operator mesin perjudian manakala 1 lelaki warga tempatan yang berusia 40 tahun turut ditahan dipercayai sebagai penyelia dan penjaga kepada premis tersebut,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Tambah Ruslin, serbuan yang dilakukan JIM Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Putrajaya pada 28 hingga 29 Mac lalu itu turut membawa kepada rampasan wang tunai sebanyak RM114,450,00.

Katanya, wang tunai itu dipercayai hasil aktiviti perjudian dengan anggaran keuntungan yang diraih sekitar RM1.3 hingga RM1.5 juta setahun.

Sindiket tersebut juga dikatakan menyasarkan warga asing sebagai pelanggan utama selain aktif melakukan aktiviti haram tersebut selama dua tahun kebelakangan ini.

Turut dirampas, 46 unit komputer pelbagai jenama, 37 naskah pasport terdiri daripada 32 pasport Bangladesh, 2 pasport Pakistan, 1 pasport Indonesia, 1 pasport Myanmar dan 1 pasport India.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menyediakan bilik rahsia yang diubahsuai sebagai pusat perjudian bagi mengaburi mata pihak penguatkuasa.

“Pelanggan yang ingin memasuki bilik rahsia berkenaan mesti mempunyai kod rahsia yang ditetapkan oleh sindiket,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, suspek utama sindiket ini adalah seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 40 tahun yang memiliki pas lawatan sosial yang juga suami kepada warganegara.

“Suspek dikatakan turut mempunyai syarikat perkhidmatan yang telah beroperasi hampir dua tahun,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button