29 warga asing ditahan dalam sindiket penyeludupan warga asing di Kajang
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan warganegara asing dalam satu operasi khas di sekitar Kajang, Selangor, kelmarin.
Operasi yang bermula pada pukul 6 petang itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi JIM diatur gerak ke lokasi dan telah berjaya menjejak kenderaan suspek.
Anggota pasukan telah menahan kenderaan tersebut di sebuah premis kediaman yang dijadikan ‘rumah penampungan’ dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 42 tahun yang dikenali sebagai ‘Jon’ dan disyaki berperanan sebagai ‘transporter’.
“Pasukan operasi turut melakukan pemeriksaan ke atas premis kediaman tersebut dan menahan dua orang ‘ahli sindiket’ warganegara Indonesia yang disyaki sebagai penjaga premis berusia 20 dan 41 tahun.
“Turut ditahan 21 lelaki dan lima perempuan warganegara Indonesia berusia di antara 21 hingga 50 tahun. Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 29 orang,” kata JIM dalam kenyataan di sini hari ini.
Hasil semakan awal mendapati 13 warganegara Indonesia telah tinggal lebih masa manakala warganegara Indonesia yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Pasukan operasi merampas 14 naskhah pasport Indonesia, wang tunai sebanyak RM13,430 dan menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Vios yang dipercayai untuk mengangkut warga asing.
“Modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk dan keluar warganegara Indonesia melalui pintu masuk yang tidak diwartakan.
“Sindiket mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap seorang dan telah beroperasi selama enam bulan.
“Seorang lelaki warganegara Indonesia ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Sek.26J dan dua lelaki warganegara Indonesia ditahan kerana disyaki di bawah Sek.26H Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.
Sementara itu, semua migran warganegara Indonesia ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3) dan Sek.15(4) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.