Telur goreng berbau dipercayai punca 32 pelajar asrama keracunan makanan
KUALA TERENGGANU – Kes keracunan makanan membabitkan seramai 32 pelajar dari sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Nerus, Khamis lalu, disyaki berpunca daripada telur goreng yang sudah berbau.
Menirut Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, siasatan awal mendapati pelajar yang berusia antara 13 hingga17 tahun itu mengalami gejala keracunan selepas makan malam di kantin sekolah itu, Rabu lepas.
Antara gejala utama dihadapi pelajar sehari selepas makan telur goreng berbau adalah mengalami loya, muntah, sakit perut, cirit-birit dan demam.
Bagaimanapun, katanya, Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) masih melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan membabitkan pelajar sekolah berkenaan.
“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Nerus sudah melakukan tindakan kawalan dan pencegahan bagi mengawal kejadian keracunan membabitkanpelajar sekolah berkenaan.
“Kita menerima laporan kejadian keracunan makan membabitkan pelajar di SBP itu pada Khamis lalu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPNT), Jelani Sulong mengesahkan sudah menerima laporan kes keracunan makanan membabitkan pelajar di sekolah berkenaan.
Tambahnya, laporan kes itu sudah dihantar kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tindakan selanjutnya.