
48 pelajar MRSM Terendak keracunan makanan, 6 dirawat di wad kecemasan
KUALA LUMPUR – Seramai 48 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak mengalami keracunan makanan sehingga enam orang pelajar terpaksa masuk ke wad kecemasan di Hospital Angkatan Tentera, Terendak, Melaka hari ini.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.
“Saya terus bergegas dari Mahkota, Kluang, Johor ke MRSM Terendak bagi meninjau keadaan pelajar-pelajar yang terkesan dan melakukan lawatan ke dewan selera.
“Terima kasih pihak Jabatan Kesihatan dan Hospital Tentera Kem Terendak yang telah membuat tindakan pantas bagi merawat pelajar MRSM. Kementerian Kesihatan juga sedang melakukan siasatan lanjut bagi isu ini serta akan mengambil tindakan termasuk notis penutupan dewan selera ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau juga mengambil peluang melihat fasiliti-fasiliti di sini dan sedih dengan keadaan bilik guru dan tandas di bangunan akademik, tandas di asrama putera dan puteri yang banyak tidak berfungsi dan rosak.
Sehubungan itu katanya, beliau telah meluluskan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik-pulih empat fasiliti asas melibatkan tandas di bangunan akademik, bilik guru di Jabatan Sains, tandas di asrama putera dan puteri serta pintu kelas akademik yang rosak teruk.
“Saya telah berikan tempoh masa selama sebulan kepada pihak pengetua dan pengurusan MRSM untuk menyelesaikan isu-isu penyelenggaraan fasiliti ini.
“Kebajikan para guru dan pelajar adalah menjadi keutamaan kami di MARA dan suasana yang kondusif amat penting untuk keselesaan semua bagi menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
“Tiada kompromi jika ia melibatkan isu kesihatan dan keselesaan para pelajar. Saya akan terus memantau dan memastikan isu seperti ini tidak berlaku lagi. Jika ianya berlaku, boleh terus laporkan kepada saya di ruangan komen Facebook,” tegasnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |