Politik

SPR sudah dimaklumkan kekosongan kerusi Mahkota – Speaker DUN

JOHOR BAHRU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sudah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, Jumaat lalu.

Speaker Dewan, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kekosongan kerusi tersebut dimaklumkan kepada SPR, pagi tadi.

“Pagi ini (tadi) saya telah memaklumkan SPR melalui hantaran faks mengenai kekosongan kerusi DUN Mahkota, susulan penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, meninggal dunia pada 2 Ogos atau Jumaat lalu.

“Justeru DUN Johor menyerahkan kepada SPR untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Allahyarham Sharifah Azizah, 64, meninggal dunia, kira-kira pukul 12.25 tengah hari, Jumaat lalu.

Allahyarham yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 itu juga adalah bekas Ketua Wanita UMNO Johor, memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.

Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi diikuti calon WARISAN, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.

Show More

Related Articles

Back to top button