PN Negeri Sembilan lancar manifesto
Lapan tawaran bagi naikkan taraf ekonomi negeri supaya lebih berdaya saing
SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan hari ini melancarkan manifesto bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.
Manifesto yang mengandungi lapan tawaran tersebut dilancarkan oleh Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang bersiaran langsung di laman Facebook, hari ini.
Manifesto tersebut, antara lain menawarkan inisiatif Bantuan Prihatin Peniaga Nismilan dengan peruntukan geran sebanyak RM4 juta setahun kepada penjaja dan peniaga kecil.
Manakala, inisiatif Nismilan Mudo yang bakal diwujudkan, akan menyediakan latihan perniagaan digital kepada bakal usahawan muda dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1 juta setahun.
“Subsidi lesen motosikal B2 juga akan diberikan kepada pemohon lesen kali pertama dengan nilai RM300 setiap seorang.
“Kita juga memperuntukan sebanyak RM2 juta untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran termasuk aspek pendidikan pendigitalan di Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di Negeri Sembilan,” kata Ahmad Faizal pada pelancaran tersebut.
Beliau seterusnya menambah, peruntukan sejumlah RM5 juta akan turut disalurkan sebagai usaha merancakkan sektor pelancongan di negeri tersebut.
Jelas beliau, pelbagai inisiatif digariskan bagi memastikan Negeri Sembilan menjadi destinasi tarikan pelancong domestik dan antarabangsa selain membangunkan ‘river cruise’ di Sungai Linggi dan Rembau.
Selain itu katanya, PN akan mewujudkan geran Prihatin Orang Kelainan Upaya (OKU) Nismilan sebanyak RM3,000 kepada golongan berkenaan yang berdaftar dan layak untuk mengikuti latihan atau kursus tambahan sebelum memulakan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Kita akan menambahbaik infrastuktur awam ke arah menjadikan negeri ini yang mesra OKU dalam tempoh lima tahun selain meningkatkan akses pendiidkan mereka melalui peruntukan biasiswa khusus.
“PN akan menubuhkan jawatankuasa khas dianggotai pakar dalam pelbagai bidang untuk memantau sekali gus memastikan tawaran PN dapat dilaksana sepenuhnya,” katanya lagi.