IRGC percaya pembunuh Ismail Haniyeh guna peluru berpandu jarak dekat
TEHERAN – Kor Pengawal Rvolusi Islam (IRGC) percaya pembunuh Ketua Biro Politik Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh menggunakan sistem peluru berpandu jarak dekat yang ditembak dari luar rumah tamu didiaminya, minggu lepas.
Laporan Sputnik semalam menyebut, IRGC percaya peluru berpandu digunakan mempunyai kepala peledak seberat kira-kira tujuh kilogram.
“Berdasarkan data siasatan, operasi pengganas ini dilakukan menggunakan peluru berpandu jarak dekat dengan kepala peledak seberat kira-kira tujuh kilogram dan letupan yang kuat, (ia ditembak) di luar kawasan rumah tamu,” kata Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) semalam dalam satu kenyataan, dipetik oleh agensi berita Iran, IRNA.
IRGC juga mendakwa pembunuhan Allahyarham Ismail dirancang dan dilaksanakan oleh Israel dan disokong oleh Amerika Syarikat, sambil menambah bahawa kematian Ketua Biro Politik Hamas itu akan dibalas dengan “hukuman yang berat” dan pada “masa dan tempat yang sesuai”.