Aaron-Khai Xing juarai Kejohanan Badminton Remaja Dunia
NANCHANG, China – Pasangan beregu lelaki, Aaron Tai-Kang Khi Xing berjaya menamatkan kemarau 13 tahun buat negara apabila berjaya merangkul juara Kejohanan Badminton Remaja Dunia, di sini hari ini.
Dalam perlawanan akhir tadi, Aaron-Khai Xing berjaya menewaskan pasangan beregu tuan rumah, Ke Yuan-Lin Xiang Yi 21-18, 15-21, 21-18.
Untuk rekod, kali terakhir pasangan negara memenangi kejuaraan ini adalah menerusi Nelson Heg-Teo Ee Yi pada 2011.
Dalam perlawanan tadi, Aaron-Khai Xing berjaya menampilkan permainan cemerlang dalam set pertama dengan menang 21-18.
Bagaimanapun, set kedua menyaksikan pasangan tuan rumah bangkit dengan permainan agresif menyaksikan pasangan negara tewas 15-21 sekaligus mengheret permainan hingga ke set penentuan.
Dalam set ketiga, wakil negara yang pada awalnya ketinggalan, berjaya menemui rentak permainan sehingga berjaya mendahului 16-13.
Beregu negara menampilkan kualiti permainan yang cemerlang dalam set pertama, saling menguji kemampuan sebelum menoktahkan kemenangan 21-18.
Skrip berbeza dalam set kedua apabila Ke Yuan-Lin Xiang Yi menampilkan permainan yang agresif untuk mengheret permainan ke set penentuan menerusi kemenangan 21-15.
Wakil negara sekali lagi ketinggalan dalam set ketiga, bagaimanapun permainan yang lebih tenang membantu mereka untuk mengejar permainan.
Di sebalik melepaskan tiga kali peluang untuk menoktahkan mata kemenangan, mereka akhirnya berjaya memastikan kejuaraan dengan kemenangan 21-18.
Sementara itu, dalam acara beregu wanita, pasangan Dania Sofea-Low Zi Yu terpaksa berpuas hati di tempat kedua setelah tewas 17-21,17-21 kepada beregu Ririna Hiramoto-Aya Tamaki dari Jepun.