Israel umum sekatan ke atas rakyat Palestin sempena Ramadan
ISTANBUL – Kerajaan Israel mengumumkan sekatan kepada rakyat Palestin daripada beribadat di Masjid Al-Aqsa pada bulan Ramadan ini.
Laporan agensi Anadolu menyebut, individu lelaki yang berusia di antara 45 hingga 55 tahun yang mahu beribadat di masjid tersebut perlu memohon permit.
“(Bagaimanapun) Wanita dari semua peringkat umur, kanak-kanak lelaki sehingga 12 tahun dan lelaki berusia lebih 55 tahun, akan dibenarkan masuk ke Masjid Al-Aqsa pada bulan Ramadan tanpa permit,” kata penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah, Mej Jen Ghassan Alyan, dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pegawai Israel itu juga berkata, rakyat Palestin di Tebing Barat yang mahu melawat saudara mereka di 48 wilayah lain, atau warga luar yang mahu melawat saudara mereka di Tebing Barat, memerlukan ‘kelulusan keselamatan’.
Di Semenanjung Gaza, Israel mengenakan ‘kuota terhad’ untuk wanita berumur 50 tahun ke atas, dan lelaki berumur 55 tahun ke atas, dari Ahad hingga Khamis, untuk memasuki Masjid Al-Aqsa, menurut kenyataan itu lagi.
Arahan keselamatn tersebut dikeluuarkan susulan ketegangan yang semakin meningkat di seluruh Tebing Barat sejak beberapa bulan kebelakangan ini susulan serbuan tentera Israel ke bandar-bandar Palestin.
Hampir 90 rakyat Palestin dan 14 warga Israel telah terbunuh dalam serangan berasingan sejak awal tahun ini.