Presiden UMNO mahu calon ciri ‘wali’ di Nenggiri
KUALA LUMPUR – Keputusan penentuan calon yang akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan diketahui minggu ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pemilihan calon anak tempatan itu akan dibuat berdasarkan kategori terbaik dan mempunyai ciri-ciri ‘wali’.
“Insyallah dalam minggu ini. Kita akan pilih yang terbaik yang ada dalam kategori ‘wali’.
“Yang mampu menang, yang diterima disukai ramai dan boleh membawa perkhidmatan yang baik kepada masyarakat di Nenggiri dan Gua Musang,” katanya selepas Majlis Pelepasan Peserta Program-Program Inisiatif Malaysia-China Institute (MCI), di sini hari ini.
PRK Nenggiri diadakan semula susulan kekosongan kerusi itu ekoran ADUNnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian BERSATU selepas menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Tarikh PRK ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada17 Ogos ini manakala penamaan calon pada 3 Ogos dan pengundian awal pada 13 Ogos ini.