Berita Semasa

AMK sifatkan kenyataan pensyarah pro-Israel melampau, menyeleweng

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menyifatkan kenyataan ahli akademik Amerika Syarikat bernama Bruce Gilley yang mengatakan Malaysia sebagai pendokong ‘Holocaust kedua’ adalah melampau dan menyeleweng.

AMK dalam satu kenyataan hari ini berkata, perjuangan Malaysia selama ini bagi pembebasan Palestin adalah konsisten seperti yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Universiti Malaya (UM) mendapat kecaman kerana membenarkan seorang ahli akademik Amerika Syarikat menyebarkan propaganda Zionis di universiti berkenaan baru-baru ini.

Selain itu, profesor tersebut turut menyerang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini adalah pendirian ahli politik Malaysia kembali kepada nasihat (Tun) Mahathir untuk belajar daripada Jerman tentang cara membunuh Yahudi,” katanya menerusi kenyataan di X yang telah dipadam.

UM difahamkan telah melancarkan siasatan terhadap ucapannya, dan telah membatalkan satu lagi ceramah beliau hari ini anjuran Institut Pengajian China universiti itu.

Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri seorang penceramah warga asing yang mengeluarkan kenyataan dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial dibatalkan segera.

Sementara itu, AMK menghargai tindakan UM membatalkan sesi syarahan itu, namun mendesak satu siasatan mendalam dilakukan berhubung bagaimana Bruce Gilley dibenarkan menyampaikan syarahan di Universiti tersebut.

“Dalam kita menghormati ruang Universiti sebagai ruang wacana awam, ia terhad kepada perkara yang boleh diwacanakan.

“Soal genosid dan pembersihan etnik di
Palestin bukanlah satu wacana tetapi hal yang jelas nyata merupakan kekejaman reiim Zionis Israel,” ujarnya lagi.

Tegas AMK, ada pihak yang perlu mengambil tanggungjawab penuh kerana tidak melaksanakan semakan latar belakang terhadap ahli akademik tersebut.

“AMK terus kekal menyokong perjuangan pembebasan Palestin. Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button