Pemegang Lesen Mesin Cetak Al-Quran berdepan hukuman batal lesen, beku permohonan semula jika langgar syarat, akta
PUTRAJAYA – Pemegang Lesen Mesin Cetak Al-Quran (LMCQ) yang di dapati melanggar mana-mana syarat lesen, garis panduan atau Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 (Pindaan 2023) akan dikenakan tindakan pembatalan lesen.
Menurut Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) dalam satu kenyataan hari ini, syarikat atau mana-mana pihak yang dikenakan dengan hukuman pembatalan itu turut dibekukan daripada memohon lesen baharu selama tempoh dua tahun daripada tarikh ia dibatalkan.
Syarat baharu itu merupakan antara perkara diputuskan oleh LPPPQ yang bermesyuarat di Kuala Terengganu, semalam.
“Hanya syarikat atau mana-mana pihak yang melepasi kelayakan dan mempunyai kemampuan untuk menghasilkan Al-Quran sebagaimana Garis Panduan Permohonan Lesen Mencetak Teks Al-Quran akan diberi lesen,” kata LPPPQ dalam satu kenyataan, hari ini.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Datuk Dr Nooh Gadot dan dihadiri Mufti-mufti negeri itu turut dimaklumkan bahawa aktiviti penguatkuasaan di bawah APTQ sehingga Jun 2024 adalah sebanyak 22,414 unit teks/bahan Al-Quran dengan anggaran nilai sitaan berjumlah RM 3.2 juta
“Bagi menjayakan misi ‘Ke Arah Sifar Al-Quran Tiada Perakuan KDN’, program berimpak ‘Jom Exchange Al-Quran’ (JEQ) di seluruh negara sehingga Jun 2024 telah berjaya menarik keluar secara sukarela daripada komuniti sejumlah 16,719 naskhah Al-Quran tiada perakuan KDN dan pelbagai kesilapan pada ayat,” kata kenyataan itu lagi.
Bersempena mesyuarat LPPPQ semalam, turut diadakan aktiviti pemuliaan (pelupusan) Al-Quran yang tiada perakuan KDN dengan pelbagai kesalahan ayat melibatkan sejumlah 4,015 teks/bahan Al-Quran secara kaedah pelepasan abu Al-Quran yang dianggarkan seberat 2,000 kilogram (2 tan).
Proses ini dilaksanakan pada jarak melebihi 10 batu nautika dengan kedalaman 25 meter di perairan Pulau Kapas.