Awan Merah juara edisi sulung Piala Sepak Takraw Evo
BANGI – Pasukan Awan Merah berjaya muncul juara Piala Sepak Takraw Evo 2022 edisi yang pertama selepas menjinakkan pasukan Kerinchi Club dalam perlawan akhir petang tadi.
Dalam perlawanan yang diadakan di Evo Mall Bangi itu, pasukan Awan Merah mengalahkan Kerinchi Club dengan kiraan mata 30-26.
Menerusi kemenangan itu, pasukan Awan Merah berjaya membawa pulang hadiah piala pusingan berserta wang tunai RM3,000 manakala Kerinchi Club berpuas hati dengan hadiah wang tunai RM2,000.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall, Fauzi Ibni Hajar, kejohanan yang julung kali diadakan itu berjaya mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat sepak takraw apabila 32 buah pasukan telah menyertai kejohanan ini.
“Alhamdulillah, kita berjaya anjurkan kejohanan ini yang diinspirasi daripada hasrat kita yang ingin mempromosikan pusat beli belah ini sebagai mesra keluarga, pelanggan dan semua lapisan masyarakat boleh berkunjung sambil membeli belah dan menjalani aktiviti yang sihat.
“Menerusi kejohanan ini juga kita berjaya mengumpulkan pemain dan bakat baharu yang boleh kita ketengahkan pada masa hadapan untuk mewakili negeri atau negara pada satu hari nanti,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya juga berhasrat untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti selepas ini seperti pertandingan karom dan lain-lain.
Katanya, ia sebagai usaha pihaknya dalam mempromosikan aktiviti sihat dan mengeratkan hubungan kekeluargaan menerusi acara sukan.