Berita Semasa

Dua beradik kritikal termakan keropok mengandungi racun tikus

KULIM – Dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun dilaporkan kritikal dipercayai akibat termakan keropok yang mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, pasangan adik-beradik itu dipercayai mengambil keropok beracun yang digunakan untuk memerangkap monyet di pagar sebuah kebun berdekatan rumah mereka.

Jelasnya, kejadian itu disedari ibu mangsa berusia 25 tahun pada pukul 11 pagi yang melihat anaknya muntah di rumah sebelum membawa kedua-dua mereka ke Klinik Kesihatan Malau dan kemudian ke Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

“Kedua-dua mangsa dipercayai membuka dan makan makanan ringan itu.

“Ibu mangsa kemudian melihat anak mereka muntah dan mulut berbuih di rumah pada pukul 11 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Azizul kemudian berkata, pegawai perubatan HK yang merawat mangsa dan mendapati kedua-dua beradik itu berada dalam keadaan kritikal kemudian merujuk mereka ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-Kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

“Pihak kini sedang mengesan pemilik kebun yang disyaki jiran mangsa untuk membantu siasatan kes itu,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button