Kereta terbabas langgar penghadang jalan, empat disahkan maut
SEPANG – Empat individu yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva disahkan terbunuh setelah terlibat dalam satu kemalangan berhampiran IOI Conezion Putrajaya, dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 1.20 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati nahas pada kira-kira pukul 1 pagi itu melibatkan sebuah kereta Perodua Viva yang dipandu dari arah Kajang menghala ke Putrajaya.
“Setibanya di lokasi, kereta dinaiki empat mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan antara susur masuk menghala ke IOI Conezion dan laluan menghala ke Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Norhizam menambah, akibat kemalangan itu, pemandu dan tiga lagi penumpang kereta yang mana dua daripadanya merupakan wanita, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Keempat-empat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat.