Bersatu akan pertaruh Annuar Musa di Gua Musang, Tok Pa di Jeli jika ada PRK
KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan sedia memberi laluan kepada ahli politik berpengaruh, termasuk Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk bertanding di Parlimen Gua Musang serta Jeli, jika PRK diadakan kelak.
Ketua BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, langkah menghantar dua ahli politik itu ke Dewan Rakyat bagaimanapun perlu mendapat persetujuan pucuk pimpinan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu.
“Kita serah kepada pucuk pimpinan untuk buat keputusan muktamad, jika ada cadangan (calonkan Annuar dan Mustapa).
“Perbincangan dibuat peringkat atas kita (BERSATU Kelantan) menerima apa saja keputusan, selepas peringkat akar umbi memberi maklum balas kerana yang lebih penting kemenangan untuk BERSATU dan PN,” lapor FMT.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas Adun Nenggiri, Azizi Abu Naim, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, mendapatkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK bagi kerusi DUN itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi membincangkan pelaksanaan PRK DUN Nenggiri.
Selain Azizi, lima Ahli Parlimen yang turut dihentikan keahlian BERSATU kerana menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ialah Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Adun Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari pula menyokong Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Semuanya gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Annuar ialah bekas Ahli Parlimen Ketereh selama tiga penggal, manakala Mustapa lebih dikenali sebagai Tok Pa pula memenangi kerusi Parlimen Jeli sejak 1995, sebelum menarik diri daripada bertanding pada PRU15.
Kamaruddin yang juga Adun Ayer Lanas berkata, Bersatu sedia mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang, Jeli dan DUN Nenggiri jika PRK diadakan selepas wakil rakyatnya menyuarakan sokongan kepada Anwar.
“Kita yakin mampu mempertahankan ketiga-tiga kawasan ini dan ada calon sesuai memandangkan kerjasama dan persefahaman Bersatu, PAS di Kelantan cukup baik dan kita boleh mengulangi persefahaman ini dalam PRK nanti.”
Katanya, BERSATU sudah melantik wakilnya untuk menjalankan tugas Adun bayangan selepas siri pengkhianatan wakil rakyatnya dalam membela nasib rakyat di Gua Musang, Jeli dan Nenggiri.