Pengarah Mbits Digital fail saman, tuntut hutang lebih RM10 juta
KUALA LUMPUR – Pengarah Mbits Digital Sdn Bhd (Mbits Digital), Saraleana Nattaya Azmi memfailkan saman terhadap Techna-X selepas didakwa gagal melunaskan pembelian baki saham berjumlah lebih RM10 juta.
Menurut peguam mewakili Saraleana, iaitu Kemala Alang, anak guamnya merupakan pemegang 30 juta saham biasa, bersamaan dengan 75 peratus saham terbitan syarikat tersebut.
“Pada 10 Februari 2021, Saraleana bersetuju untuk menjual 10 juta saham (25 peratus modal saham Mbits) kepada Techna-X Berhad dengan harga RM12.5 juta.
“Namun, sehingga kini, Techna-X hanya membayar RM2,048,001.90, meninggalkan baki RM10,451,998.10 yang masih belum dijelaskan.
“Semua urusan antara Techna-X dan Saraleana diuruskan oleh Datuk Jared Lim, menantu kepada seorang tokoh perniagaan yang telah diisytiharkan muflis.
“Walaupun pada Jun 2022 saham tersebut telah didaftarkan atas nama Techna-X, bayaran penuh masih belum diterima oleh Saraleana,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Kemala berkata, Techna-X juga berjanji untuk menyelesaikan baki RM8.75 juta sebelum 31 Disember 2022, namun jumlah sebenar yang masih perlu dibayar ialah RM10,451,998.10.
Selain itu, Techna-X menyatakan bahawa mereka telah memperolehi pembiayaan kewangan daripada TAP Sdn Bhd (Tremendous Asia Partners) untuk membantu melangsaikan sebahagian daripada baki bayaran, tetapi wang tersebut masih tidak dibayar kepada Saraleana.
“Tanpa pengetahuan atau kebenaran Saraleana, Techna-X kemudian menjual saham tersebut kepada Debut Supreme Capital Sdn Bhd. Oleh itu, Saraleana kini menuntut baki RM10,451,998.10 daripada Techna-X,” katanya.