Berita Semasa

Inisiatif Payung Rahmah akan liputi kemudahan pinjaman pembiayaan pembelian kenderaan dan insurans

SUBANG JAYA – Inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup dijangka akan diperkembangkan hingga meliputi kemudahan pinjaman pembiayaan pembelian kenderaan dan insurans.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau akan mengadakan beberapa sesi libat urus dengan institut perbankan dan syarikat insurans bagi memperhalusi inisiatif itu.

“Insya Allah akan ada insurans Rahmah yang boleh ditawarkan kepada rakyat yang memang tidak mampu beli kereta baharu dan hanya mampu beli kereta terpakai, tetapi ada skim perlindungan untuk kereta mereka,” katanya selepas merasmikan Kempen Klasiknya Raya di Mydin Subang Jaya, hari ini.

Terdahulu, Salahuddin dalam ucapannya berkata, beliau telah berbincang dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz untuk menyuarakan hasratnya menemui tokoh perbankan.

Katanya, Zafrul yang juga bekas menteri kewangan memberi pandangan positif terhadap konsep itu serta bersedia memberi kerjasama bagi menjayakannya.

Sementara itu, Salahuddin mengucapkan terima kasih kepada Mydin kerana membantu kementeriannya menjayakan konsep Payung Rahmah yang dimulakan dengan Menu Rahmah dan kini menampilkan Jualan Rahmah menjelang Ramadan dan sambutan Hari Raya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button