Berita SemasaPM X

PM puji kualiti filem tempatan setanding luar negara

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kekaguman terhadap mutu perfileman tempatan yang kini setanding dengan filem antarabangsa.

Beliau berkata demikian selepas berpeluang menonton filem Sheriff Narko Integriti dalam program anjuran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di GSC IOI Mall, di sini malam tadi.

”Saya dan Azizah berpeluang menonton tayangan khas filem Sheriff Narko Integriti malam tadi.

“Saya kagum dengan mutu perfileman tempatan yang begitu membanggakan, dan saya amat yakin industri tempatan punyai keupayaan untuk bersaing, tidak hanya di rantau ini, malah di peringkat antarabangsa juga.” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Mengulas mengenai filem tersebut, Anwar mengakui terkesan kerana filem itu mengangkat dan menyambut isu rasuah yang menjadi agenda utama kerajaan menangani kelemahan tatakelola.

“Saya terkesan tatkala filem ini menjadikan isu integriti, rasuah dan salahguna kuasa sebagai tema utama.

“Saya sambut baik usaha murni pihak pembikin filem ini yang menyambut ketegasan Kerajaan dalam mendepani masalah rasuah,” katanya.

Justeru beliau berkata, kerajaan tegas untuk tidak mencampuri aspek pencambahan idea serta nilai kreativiti, malah mendukung prinsip kebebasan berekspresi menerusi karya anak-anak seni dan ia mesti disemarakkan.

“Sekalung tahniah buat pasukan penyutradaraan, para pelakon, penerbit serta semua pihak yang terlibat dalam pembikinan filem Sheriff Narko Integriti,”katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button