Sistem C4ISR di POMAR lonjakkan keupayaan Maritim Malaysia
PUTRAJAYA – Pusat Operasi Maritim (POMAR) yang dinaik taraf baru-baru ini dapat meningkatkan lagi keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam menguatkuasakan keselamatan dan koordinasi operasi carilamat (SAR) di perairan negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Md Dom berkata, kerja naik taraf tersebut melibatkan pembangunan Pusat Perintah, Kawalan, Komunikasi, Komputer, Perisikan, Pengawasan dan Peninjauan (C4ISR) sebagai melengkapi keperluan operasi Maritim Malaysia.
“Pojek ini dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan perkongsian maklumat dan menyelaras tindakan segera operasi penguatkuasaan dan carilamat (SAR) maritim dengan lebih efisien dan efektif.
“Melalui sistem ini juga, POMAR secara langsung berfungsi meningkatkan kecekapan pengurusan kawalan pemerintahan Maritime Domain Awareness (MDA) di perairan Malaysia,” kata Mohd Zubil dalam ucapannya ketika hadir pada majlis penyerahan naik taraf projek pusat operasi itu, baru-baru ini.
Antara yang hadir termasuk Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Laksamana Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim; serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin.
Untuk rekod, Fasa 1 projek tersebut merangkumi integrasi sistem milik Maritim Malaysia di negeri Kedah, Perlis, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak dan Stesen Udara Maritim Subang, serta agensi lain.
“Harapan saya, sistem C4ISR yang dijangkas iap sepenuhnya pada tahun 2024 (nanti) akan dapat membantu Maritim Malaysia dengan lebih cekap bagi tindakan segera operasi penguatkuasaan dan carilamat di perairan negara,” kata Mohd. Zubil lagi.
Untuk rekod, projek naik taraf POMAR bermula pada tahun 2018, namun tertangguh selama dua tahun akibat Covid-19.
Bagaimanapun projek tersebut diteruskan kembali pada tahun 2021 setelah mendapat kelulusan khas Kementerian Dalam Negeri (KDN).