DBKL gempur peniaga warga asing tanpa lesen
KUALA LUMPUR – Aktiviti perniagaan tanpa lesen oleh warga asing di sekitar Pasar Borong di sini terus digempur pihak berkuasa melalui tujuh tindakan sita malam tadi.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, pihaknya mengeluarkan enam notis kompaun di bawah UUK Perlesenan Tred Perniagaan & Perindustrian (WPKL) 2016 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 berserta 1 notis penguatkuasaan di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982.
“Operasi disertai Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar telah mengenakan kompaun kepada peniaga tanpa lesen dan pihak yang meletakkan halangan di tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial hari ini.
Katanya, DBKL juga melaksanakan tindakan pindah halangan terhadap peniaga yang menghalang jalan dan tempat awam.
“Tindakan pindah halangan juga diambil di bawah seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 di Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara,” katanya.
Dalam pada itu, semua barangan yang disita dan dipindah halangan dibawa ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
Sementara itu, tindakan penguatkuasaan DBKL tersebut akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan peraturan dan undang-undang dipatuhi sepenuhnya.