DBKL serbu 4 sarang pelacuran di Jalan Petaling
KUALA LUMPUR – Sebanyak 36 orang pekerja seks warga negara asing ditahan dalam serbuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas empat premis pelacuran di sekitar Jalan Petaling, di sini malam tadi.
Dalam serbuan itu, 11 warga tempatan dan warga asing turut diperiksa selepas dipercayai menjadi pelangga aktiviti tidak bermoral itu.
DBKL dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerusi Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Pelacuran) Siri 1/2023 di sekitar Jalan Petaling, Kuala Lumpur 9.00 malam tadi.
Operasi itu dijalankan berdasarkan risikan dan pemerhatian pasukan penguatkuasa di beberapa lokasi premis yang menjadi tumpuan aktiviti itu.
Katanya, DBKL juga akan meneruskan penguatkuasaan secara berperingkat terhadap premis-premis yang dijadikan pusat pelacuran di sekitar pusat bandar
“Dalam operasi tindakan khas ini, sejumlah 4 buah premis telah diserbu pihak penguatkuasa DBKL serta menahan sementara 36 orang wanita warga negara asing terdiri daripada (26) warga Indonesia, (5) warga Bangladesh, (2) warga India, (1) warga Sri Lanka dan (1) warga China disyaki sebagai pelayan seks.
“Turut diperiksa 11 orang lelaki warga tempatan dan warga asing dipercayai sebagai pelanggan yang hadir ke premis semasa serbuan dijalankan,” katanya.
DBKL berkata, kesemua 4 premis tersebut dikenakan tindakan penutupan serta merta (sealed) di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan 4 notis kompaun dibawah UUK 3(1) UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 – kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran/lesen pihak DBKL.
“Penguatkuasa turut memecahkan 54 buah sekatan bilik yang dibina tanpa kelulusan serta membuat tindakan sita terhadap 155 pelbagai barangan dan peralatan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral termasuk kondom, gel pellincir, tisu basah, monitor, cctv dan lain-lain.
“Barangan yang disita dibawa ke Setor Sitaan DBKL untuk didokumentasi sementara menunggu tindakan lanjut terhadap pemilik premis,”katanya.