Berita Semasa

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke istiadat mengarak panji-panji

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, hari ini berkenan berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari

Keputeraan Rasmi Baginda di Dataran Pahlawan Negara di sini.

Turut berangkat sama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia.

Menurut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan, sempena istiadat itu sebanyak lima Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diarak oleh kontinjen daripada Tentera Darat Malaysia (TDM).

Ia melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar
Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Armor Diraja (KAD) di samping Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Istiadat itu melibatkan 131 pegawai dan 1,066 lain-lain pangkat di mana daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 57 pegawai dan 847 lain-lain pangkat adalah mereka yang terlibat dalam perbarisan bagi istiadat itu.

Perbarisan itu diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Muhammad Firdaus Sa’ad dan turut melibatkan lima buah pesawat ATM iaitu tiga buah Helikopter EC725AP, sebuah Agusta 109 dan sebuah Superlynx yang membuat formasi terbang lintas hormat dengan membawa bendera Jalur Gemilang, bendera ATM, TDM,
TLDM dan TUDM.

Formasi terbang itu diketuai oleh Mejar Mohd Fazruzaman Md Faril bersama dengan Tembakan Kehormatan Artileri sebanyak 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Mejar Hafizan Mat Ghani.

Keseluruhan perbarisan pada pagi itu diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat Angkatan Tentera Malaysia di bawah pimpinan Leftenan Kolonel (DOM) Muhamad Nor Azizan Yahya.

Istiadat itu diadakan tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.

Tahun ini merupakan tahun pertama pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan istiadat itu bakal
dilaksanakan buat kali kedua pada 2026 dan kali ketiga pada 2028 nanti.

“Panji-Panji merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap raja dan negara.

“Dilihat dari sudut sejarah, panji-panji itu sendiri berasal daripada bendera yang digunakan oleh suatu ketumbukan angkatan tentera pada zaman dahulu.

Walaupun begitu, pada hari yang serba
moden ini, panji-panji tersebut masih mempunyai peranannya yang signifikan di dalam pembangunan sesebuah angkatan yang moden. Ia sebagai pengisi kekuatan ‘intangible’ di kalangan warga serta menjadi asas kepada sistem-sistem ataupun platform berteknologi tinggi yang di kira sebagai kekuatan ‘tangible’,” katanya.

Jelasnya, dalam era moden ini, panji-panji serta upacara mengaraknya menyumbang kepada lambang perhubungan sesuatu pasukan atau ketumbukan dengan institusi di raja dan kerajaan di bawah naungan baginda.

Selain itu, panji-panji itu juga amat penting sebagai identiti serta pemilikan (ownership) setiap warga pasukan ke atas sikap tanggungjawab, legasi dan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap raja dan negara.

“Perkataan ‘Battle Honours’ yang tertera di atas Panji-Panji melambangkan pertempuran dan kempen-kempen yang telah dilalui oleh rejimen atau pun pasukan tersebut. Ini sebagai tanda peringatan kepada setiap warganya tentang pengorbanan yang telah dilalui oleh generasi terdahulu sebelum layak dianugerahkan panji-panji berkenaan.

“Panji-panji ini juga akan sentiasa dipertahankan sehingga ke titisan darah
terakhir. Senarai ‘Battle Honours’ yang tercatat pada Panji-Panji Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong adalah Tanah Melayu (1941-1942), Singapura (1942), Darurat (1948-1960), Congo (1960-1963), Konfrontasi (1963 – 1965), Namibia (1989-1990), Kemboja (1992-1993), Somalia (1993-1995), Bosnia Herzegovina (1993-1998) dan Daulat Feb 2013 (Feb 2013).

“Kegagalan mempertahankannya sehingga ia jatuh ke tangan musuh serta sebarang perlakuan yang boleh dianggap mengkhianati kepercayaan raja dan rakyat merupakan suatu ‘kehinaan’ yang tidak boleh dipandang ringan.

“Justeru, dapat dirumuskan bahawa
betapa pentingnya panji-panji ini untuk dimuliakan dan apabila ianya diarak, akan menjadi tanda penghormatan warga ATM dalam menzahirkan taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM,” katanya.

Sementara itu, istiadat diakhiri dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan dan bacaan doa yang dipimpin Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai.

Sultan Ibrahim sekali lagi menerima lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM sebelum Seri Paduka Baginda berdua berangkat meninggalkan majlis itu pada 9.25 pagi.

Turut hadir ke istiadat berkenaan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Show More

Related Articles

Back to top button