Pameran rumah panjang kaum Iban jadi tumpuan di Sambutan Minggu Perpaduan 2024
JOHOR BAHRU – Majlis Sambutan Minggu Perpaduan Tahun 2024 yang kini telah memasuki hari ketiga penganjurannya terus menjadi tumpuan orang ramai di perkarangan Pusat Beli Belah Angsana Mall, Johor Bahru.
Antara acara yang mencuri tumpuan orang ramai adalah pameran rumah panjang suku kaum Iban yang dibina khusus bagi tatapan umum sepanjang acara Sambutan Minggu Perpaduan 2024.
Menurut Sawang Anak Purah, Ahli Persatuan Anak Borneo Semenanjung, tujuan utama pameran rumah panjang ini adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai sendiri pengalaman menjejakkan kaki ke dalam rumah panjang.
Katanya, memandangkan kebanyakkan rumah panjang hanya boleh didapati di negeri Sarawak, jadi orang ramai kini boleh melawatnya tanpa mengeluarkan sebarang kos.
“Rumah panjang ini hanya replika sahaja dan boleh memuatkan sehingga 40 orang dalam satu-satu masa kerana ia diperbuat daripada kayu, papan dan buluh,” katanya yang juga suku kaum Iban.
Mengulas lanjut, Sawang berkata, sambutan yang diterima pada hari ketiga progam ini amat menggalakkan dengan kehadiran pengunjung tidak putus dari pagi hingga malam.
“Sambutan sangat meriah sebab orang datang tidak putus-putus dari pagi hingga malam untuk ambil gambar dan tengok sendiri bagaimana rupa rumah panjang tradisional ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Sawang turut menzahirkan harapan agar pihak Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mempertimbangkan untuk mengadakan program Sambutan Minggu Perpaduan ini dengan lebih kerap lagi pada masa akan datang.
“Saya amat hargai dan berterima kasih kepada KPN atas inisiatif yang diambil bagi mengadakan program seperti ini dan saya harap KPN akan adakan lagi dengan lebih kerap di setiap tempat seluruh negara,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Terdahulu, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang sebelum ini berkata, sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan mampu menjadi wadah perpaduan dan tapak integrasi yang berlandaskan pendekatan terpilih sekali gus mengeratkan hubungan masyarakat dalam usaha memelihara ekosistem perpaduan.
Sebagai rekod, pelbagai pengisian dan akitiviti menarik yang disediakan kepada para pengunjung seperti pameran Rumah KAMI yang merangkumi 22 rumah etnik, perkampungan orang asli pelbagai suku serta Jualan Rahmah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan merasmikan Majlis Minggu Perpaduan Tahun 2024 Peringkat Kebangsaan bertempat di perkarangan Pusat Beli Belah Angsana Mall, Johor Bahru, malam ini.