Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Pengarah syarikat hilang RM1 juta diperdaya “Inspektor Harun’

JOHOR BAHRU – Seorang wanita yang merupakan seorang pengarah syarikat berputih mata selepas ditipu lebih RM1 juta oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 37 tahun yang mendakwa telah ditipu oleh seorang pegawai polis yang memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Harun’.

Katanya, kejadian berlaku pada 31 Oktober lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada syarikat penghantaran yang memaklumkan terdapat bungkusan mengandungi buku cek dan token bank di atas namanya.

“Mangsa kemudian menafikan ada membuat permohonan sebelum panggilan disambungkan kepada pihak polis untuk mangsa membuat laporan penafian.

“Mangsa telah bercakap dengan ‘Inspektor Harun’ dan diberitahu terdapat kad visa milik mangsa telah dijumpai dan kad visa itu didapati terbabit dalam kes penipuan serta penggubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa mendakwa telah diarahkan untuk memindahkan semua wang yang ada ke akaun lain bagi tujuan siasatan oleh Bank Negara.

Katanya, mangsa yang takut dikenakan tindakan undang-undang, mangsa telah memindahkan wang berjumlah RM1,140,320 ke akaun bank yang diarahkan oleh ‘pegawai polis’ itu.

“Mangsa menyedari telah ditipu apabila sekali lagi diarah membuat pindahan wang walaupun sejumlah wang sudah dipindahkan sebelum itu.

“Mengesyaki dirinya telah ditipu mangsa kemudian tampil membuat laporan polis.

“Kes disiasat di bawah kesalahan tipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Kumar meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali ataupun memperkenalkan diri sebagai pegawai polis mahu pun mana-mana agensi penguat kuasa.

“Dimaklumkan bahawa pihak berkuasa sama sekali tidak akan mengarahkan wang dipindahkan ke mana-mana akaun bank atas alasan untuk tujuan siasatan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button