Hawana 2024: Berita baik nanti pengamal media
PUTRAJAYA – Beberapa berita baik buat pengamal media di negara ini akan diumumkan kerajaan pada sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 yang akan diadakan selama tiga hari bermula esok di Kuching.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, berita berkenaan akan diumumkan semasa majlis kemuncak Hawana 2024 iaitu pada Isnin ini yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Nantikan, Insya-Allah ada pengumuman baik,” katanya memetik laporan Bernama.
Tedahulu beliau mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri, hari ini.
Menurutnya lagi, setakat ini, semua urusan berkaitan majlis berkenaan berjalan lancar dan baik tanpa sebarang masalah.
“Semua berjalan dengan baik. Perbezaan Hawana pada tahun ini adalah kita ada jemput rakan-rakan media antarabangsa yang lebih ramai, termasuk enam organisasi media dari negara ASEAN,” ujarnya.
Majlis yang mengangkat tema “Etika Teras Kewartawanan Mapan” itu kali ini disertai wakil media dari Kemboja, Indonesia, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor Leste, Vietnam, China, Korea dan Qatar.
Sementara itu, majlis tersebut turut menawarkan pelbagai program seperti Jelajah Hawana 2024 Bersama Siswa yang akan dirasmikan oleh Fahmi di Pustaka Negeri esok, selain Pameran Hawana 2024 yang akan berlangsung selama tiga hari di Atrium Utama Plaza Merdeka Shopping Centre.
Para peserta juga akan dibawa melawat ke lokasi ikonik di sekitar bandar raya itu seperti Muzium Budaya Borneo, Jambatan Darul Hana dan Dataran Ibu Pertiwi untuk mengenali keunikan budaya serta pembangunan terkini Bumi Kenyalang dengan lebih dekat menerusi program ‘Juh Raon’ pada Ahad.
Selain itu, sebanyak 20 reruai pameran pelbagai agensi akan mempamerkan perkhidmatan mereka di samping memberi peluang kepada para pengunjung mendapatkan pelbagai maklumat serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.
Turut mengisi Hawana 2024 adalah Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital’ yang berlangsung pada hari Ahad dan Isnin di mana akan dirasmikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengikut rekod, Hawana 2024 merupakan edisi keempat penganjurannya selepas diperkenalkan di Kuala Lumpur pada 2018, Melaka (2022) serta Perak (2023).
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bertujuan meraikan sumbangan pengamal media.