Agong gesa kerajaan tingkat penguatkuasaan terhadap kandungan ajaran sesat, tubuh pusat rujukan agama
PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menggesa kerajaan supaya meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kandungan ajaran sesat dan menyediakan satu pusat rujukan agama untuk menyebarkan ilmu dan maklumat yang tepat.
Sultan Ibrahim bertitah, langkah tersebut adalah bagi membendung penyebaran maklumat berkaitan agama Islam yang mengelirukan, tidak tepat, salah tafsir dan ajaran yang menyimpang daripada prinsip Islam yang sebenar.
“Suka juga saya ingatkan di sini, supaya jangan jadikan media sosial tempat kita berbalah atau bertengkar, dan jangan buka aib orang lain atau “viral”kan perkara yang memalukan, kerana ini semua akan menjadi punya perpecahan dan persengketaan,” titahnya.
Baginda bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024/1446H yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Pada masa yang sama, Sultan Ibrahim turut bertitah, dalam aspek pembentukan sebuah negara, hijrah turut membawa sinar penyatuan ummah dan perpaduan masyarakat.
Justeru itu, baginda mengingatatkan kepada semua untuk tidak bersikap keterlaluan atau ekstrem terutama dalam isu berkaitan kaum dan agama, sehingga boleh mencetus api perbelahan.
“Semua kaum ada budaya dan agama sendiri. Kita mesti hidup dengan saling hormat menghormati antara satu sama lain.
“Sesungguhnya semua umat islam itu adalah bersaudara. perbezaan bangsa, budaya dan asal usul tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk kita berselisih faham, caci mencaci dan tuduh menuduh antara satu sama lain.
“Justeru, saya menyeru agar kita kuatkan semangat hidup bersaudara untuk membentuk generasi masa hadapan negara yang bersatu padu,” titahnya.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah,
agama islam yang diamalkan di negara kita adalah berlandaskan ajaran Ahli Sunnah Wal- Jamaah, namun berdasarkan pemerhatian baginda, telah ada banyak fahaman dan ajaran islam yang berbeza-beza sehingga ia menjadi seperti ‘rojak’.
“Ini semua akan memecah-belahkan umat islam. janganlah kita dibodoh-bodahkan dengan ajaran oleh pihak yang ada kepentingan sendiri.
“Jika keadaan ini berterusan, macam mana umat islam hendak bersatu? Awak semua fikirlah betul- betul. Saya cuma boleh ingatkan sahaja, awak semua buat pilihan,” titah baginda lagi.