Sekat segera kemasukan pelancong China
BANGI – Kerajaan diminta tidak mengulangi ‘sejarah lama’ dalam cara pengurusan dan pencegahan Covid-19 yang telah memberi kesan buruk kepada rakyat negara ini sebelum ini, susulan penularan varian baharu di China.
Timbalan Presiden Pertubuhan Doktor -Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Norzaidi Zakaria berkata, kegagalan menyekat pelancong luar khususnya dari China tidak mustahil akan menyebabkan kesan yang lebih parah sehingga sistem kesihatan negara lumpuh.
“Kita jangan ulang sejarah lama, akibat lambat bertindak kesannya bukan saja kepada rakyat tetapi seluruh negara.
“Gesaan kita bukan nak mempolitikkan isu kehadiran pelancong China tetapi fahamilah, ini isu kesihatan rakyat,” katanya Ismaweb.
Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah memaklumkan, dua varian Covid-19 utama yang menular di China iaitu varian BA.5.2 dan varian BF.7 dikesan telah berada di Malaysia.
Setakat 31 Disember lalu, terdapat sebanyak 4,148 kes yang dijangkiti dengan BA.5.2 dan tiga kes yang dijangkiti dengan BF.7.
Dr Norzaidi menegaskan, kerajaan perlu segera bertindak dan melihat kesan yang bakal diterima sekiranya melengah-lengahkan tindakan pencegahan itu.
“Walaupun pada mulanya hanya dua kes yang dikesan namun sekiranya dibiar tanpa pencegahan ia akan mendominasi keadaan,” katanya.
Justeru, beliau mahu kerajaan melaksanakan peraturan ketat terutamanya di pintu-pintu utama negara seperti di lapangan terbang dan pintu sempadan.
Malah, prosedur operasi standard (SOP) dan amalan pencegahan seperti pemakaian pelitup muka serta pelaksanan ujian kendiri juga perlu diperketatkan lagi bagi mengelak virus daripada luar di bawa masuk ke negara.
Beliau juga mengesyorkan pemberian dos penggalak tambahan bagi menguatkan lagi daya tahan badan.
“Pengambilan dos penggalak penting untuk memperkuat imunisasi badan terutama individu berisiko seperti warga emas,” katanya.
Pada masa sama, Dr Norzaidi turut menyarankan supaya ujian RTK Covid-19 atau ujian saringan RT-PCR dilakukan di premis-premis kesihatan manakala ujian kendiri perlu dihentikan berikutan bacaan tidak tepat dan sukar mendapatkan data yang lengkap.