Fahmi Fadzil puji Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024
PUTRAJAYA – Usaha Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 (HKHM) dalam menjayakan kedua-dua sambutan berkenaan dengan lancar pada Ogos dan September lalu, mendapat pujian Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi itu berkata, kedua-dua acara peringkat persekutuan itu telah menampilkan kelainan, sekali gus berjaya menarik ribuan pengunjung ke acara berkenaan.
Untuk rekod, Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya telah menarik lebih 100,000 pengunjung, manakala seramai 40,000 orang menghadiri sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
“Pasukan yang ada cukup baik, terima kasih kepada semua. Tanpa anda semua, sambutan tidak berjaya, sambutan tidak berjalan dan tidak mendapat sambutan.
“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2024, saya rakam setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap individu atas usaha keras demi kejayaan dan kelancaran sambutan,” katanya semasa berucap pada Perasmian Penutupan HKHM 2024,ndi Putrajaya malam tadi.
Pada masa yang sama, Fahmi menyifatkan tanggungjawab yang dipikul oleh beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2024 adalah antara tugasan paling berat yang digalasnya.
Sementara itu, Fahmi berkata, bagi sambutan pada tahun berikutnya, beliau percaya akan ada keunikan yang akan ditonjolkan oleh kementerian, jabatan dan agensi yang terlibat.
“InsyaAllah kita akan teliti beberapa perkara bagi memastikan sambutan pada tahun akan datang dilaksanakan dengan lebih meriah.,” katanya.