Pemilik resort anjur Aloha Party dikompaun RM25,000
KUALA TERENGGANU – Pemilik sebuah resort persendirian di Pulau Lang Tengah dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 kerana menganjurkan aktiviti tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, tindakan kompaun tersebut dibuat ketika pertemuan dengan pemilik resort di Wisma Darul Iman hari ini.
“Resort ini memiliki lesen dan boleh beroperasi seperti biasa. Namun, kami akan mengarahkan pihak PBT dan pihak-pihak lain untuk memantau dan menyiasat sekiranya terdapat pelanggaran peraturan yang ditetapkan. Kami juga tidak lagi membenarkan mereka meneruskan acara seperti parti yang diadakan baru-baru ini,” katanya.
Menurut Razali, pihaknya telah mengarahkan supaya semua aktiviti seperti pesta liar yang dinamakan ‘Aloha’ itu dihentikan sepenuhnya dan tidak berulang lagi.
Katanya, beliau menjelaskan bahawa resort tersebut agak terpencil dan menyebabkan kegiatan yang dijalankan di situ tidak diketahui ramai.
Pada Selasa lalu, tular poster dan gambar yang memaparkan wanita berpakaian seksi menghadiri sebuah parti liar yang diadakan di Pulau Lang Tengah.
Sehubungan itu, ia telah menarik perhatian ramai dengan menyatakan bahawa parti tersebut tidak sesuai diadakan di negeri Terengganu.