Pemisahan fungsi Peguam Negara dengan Pendakwa Raya masih dalam kajian – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Kerajaan masih lagi mengkaji pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian berkenaan mengambil masa, rumit serta mempunyai implikasi pertambahan perbelanjaan.
“Cadangan ini telah pun dalam kajian. Ada cadangan untuk memisahkan. Perkara ini agak rumit sedikit saya ingat mengambil masa.
“Pada prinsipnya ramai setuju supaya dipisahkan tetapi pada peringkat pelaksanaannya kita teliti kerana dari segi kesan implikasi kewangan hampir RM300 juta tambahan.
“Tapi saya setuju ia bukanlah pertimbangan utama kerana yang penting adalah memastikan satu proses pendakwaan yang lebih telus dan bebas,” katanya.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalah Chiew Choon Man (Miri – PH) ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.
Choon Man ingin mengetahui sama ada kerajaan sudah bersedia untuk melaksanakan pemisahan fungsi antara Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Langkah tersebut adalah bagi mengukuhkan kebebasan kedua-dua entiti dimaksudkan dan mengelak tuduhan terdapat pendakwaan terpilih kepada mana-mana ahli politik dan mengelakkan institusi kerajaan daripada disalahgunakan.
Sementara itu, Anwar mengesahkan terdapat siasatan dilaksanakan berhubung korupsi melibatkan ahli politik kerajaan.
“Saya tidak tahu secara khusus tetapi saya dimaklumkan ada siasatan melibatkan pembangkang dan blok kerajaan. Saya tidak tahu jawatannya kerana bila ada soalan ini saya hanya bertanya kepada pihak penguatkuasaan mereka sahkan memang ada siasatan.
“Kemudian sama ada pendakwaan itu dibuat atau tidak itu terserah kepada badan penguatkuasaan iaitu Peguam Negara,” tambah Anwar lagi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang – PN).