PDRM akan ambil tindakan sekiranya ada pelanggaran undang-undang – Menteri Agama
PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyerahkan proses selanjutnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan isu dakwaan logo menyerupai kalimah Allah pada kasut yang menjadi tular, baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarahkan untuk memberi kerjasama penuh kepada PDRM bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Tambahnya, sekiranya terdapat elemen yang bertentangan dengan undang-undang, pihak PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya.
“Semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada situasi ini agar ianya tidak berulang lagi pada masa akan datang.
“Dalam masa terdekat, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengadakan pertemuan bersama pihak Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) serta pihak berkuasa seperti PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan lain-lain pihak berkaitan bagi menyelaras tindakan bersepadu untuk menangani isu ini,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau dan pihaknya komited dalam menjaga kesucian agama Islam dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang jelas terbukti membuat tindakan yang menghina agama Islam.
Sehubungan itu, Mohd Na’im turut menasihatkan semua pihak untuk sentiasa bertenang dan tidak mengambil sebarang langkah melulu yang bertentangan dengan undang-undang negara.
Katanya lagi, semua pihak wajiblah menjaga akhlak dan tingkah laku agar keharmonian dan perpaduan dalam negara sentiasa terpelihara.