Berita Semasa

Laluan Batang Kali – Gohtong Jaya dibuka semula esok

KUALA LUMPUR – Laluan Batang Kali – Gohtong Jaya (Genting Highlands) yang ditutup ekoran kejadian tanah runtuh pada bulan lalu akan dibuka semula esok.

Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, laluan tersebut akan dibuka pada pukul 5 petang esok untuk kenderaan ringan seperti kereta, motosikal dan kenderaan pelbagai guna.

Bagaimanapun katanya, kebenaran melalui jalan itu hanya terhad kepada kakitangan di kawasan Genting Highlands yang mempunyai surat pengesahan majikan.

Menurut JKR, pengguna yang menggunakan laluan tersebut tidak dibenarkan berhenti di kawasan kejadian tanah runtuh.

“Pengguna hendaklah berhati-hati ketika melalui laluan tersebut dan sila patuhi arahan papan tanda yang telah disediakan kerana kerja-kerja pemantauan cerun masih berjalan,” kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi mengurangkan kesesakan di laluan itu, JKR menasihatkan pengguna jalan raya untuk menggunakan laluan alternatif iaitu laluan Ulu Yam – Batu Caves dan laluan Kuala Lumpur – Ipoh.

Orang awam boleh menghubungi JKR Hulu Selangor di talian 03-60641046, 03-60641146, 03-60641058 dan 03-60641073 untuk sebarang pertanyaan.

Dalam kejadian tanah runtuh pada 16 Disember lalu, sebahagian daripada lereng bukit setinggi 30 meter berhampiran dengan jalan berkenaan runtuh menimpa tapak perkhemahan dan mengorbankan 31 nyawa.

Show More

Related Articles

Back to top button