Kanak-kanak berbasikal meninggal dunia langgar lori sampah
TAMPIN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas basikal yang ditungganginya dipercayai terlanggar tayar belakang sebuah lori sampah di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, dalam kejadian pada kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Aminah Mohd. Hafis, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
“Siasatan awal mendapati, lori sampah yang dipandu lelaki berusia 55 tahun itu sedang menjalankan tugas mengutip sampah di kawasan berkenaan.
“Kemalangan berlaku semasa pemandu lori sedang memasuki selekoh untuk mengutip sampah, tiba-tiba mangsa yang sedang menunggang basikal keluar dari rumahnya dan telah melanggar tayar belakang lori itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini
Menurutnya, pemandu lori kemudian turun untuk memeriksa dan mendapati penunggang basikal tersebut berada di bawah tayar belakang lori.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin bagi mengetahui punca kematian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan terbabit diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Tampin di talian 064412502 atau 064431999.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya lagi.