Jenayah & Mahkamah

Selisih faham punca penjawat awam cemerlang jatuh kondo

KUALA LUMPUR: Perselisihan faham antara keluarga dipercayai ada kaitan dengan kejadian seorang penjawat awam wanita jatuh dari tingkat 21 sebuah kondominium, di Cheras, dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata siasatan awal turut mendapati tiada unsur jenayah dalam insiden berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu daripada pelbagai sudut.

“Motif kejadian masih dalam siasatan namun dipercayai ia berkait perselisihan faham keluarga.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Menurut beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan.

Media semalam melaporkan seorang kakitangan awam wanita maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 21 sebuah kondominium di Cheras di sini, kelmarin.

Kejadian dilaporkan kira-kira jam 9 malam dan mayat mangsa ditemui terbaring oleh pengawal keselamatan di kaki lima di Blok C kondominium terbabit.

Difahamkan, mangsa berusia 40 tahun itu seorang ibu tunggal mempunyai lima anak dan pernah menjadi penerima Anugerah Cemerlang Perkhidmatan.

Terdahulu, tular beberapa gambar berkaitan kejadian menimpa mangsa di media sosial.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) untuk dibedah siasat.

Show More

Related Articles

Back to top button