YC Bersatu terima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records
KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar pelbagai jenis sos, YC Bersatu Biotech Sdn Bhd diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records dengan dua pencapaian yang meletakkan mereka sebagai pengeluar kicap pertama di Malaysia yang memperolehi status Biobased Accelerator (BBA) dan mencapai status Bionexus.
Program BBA membantu dalam perniagaan berasaskan bio, perniagaan mikro, dan syarikat-syarikat besar dalam menyebarkan sains, teknologi serta pelaburan strategik ke dalam operasi perniagaan mereka.
Status Bionexus pula adalah status khas yang diberikan kepada syarikat yang berkelayakan dalam menjalankan aktiviti bioteknologi.
Menurut Pengarah Urusan YC Bersatu Biotech, Kelvin Han Wei Jian, selain menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records, produk mereka turut menerima pengiktirafan Mesti, GMP dan status Halal.
“Dengan memilih product YC Bersatu Biotech, pengguna tidak hanya menerima tambahan rasa yang lazat kepada hidangan mereka, tetapi menyokong sebuah syarikat yang berdedikasi kepada prinsip kelestarian dan kemajuan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melancarkan produk baharu keluaran YC Bersatu Biotech iaitu Sos cili padi Sabah dan kicap lemak manis dengan label jenama Machi.
Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Koseph Kurup menzahirkan rasa bangga atas pengiktirafan yang diterima YC Bersatu Biotech.
“Kejayaan ini adalah bukti komitmen mereka (YC Bersatu Biotech) terhadap inovasi dan kelestarian dalam industri makanan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Alvis Loo.
Mengulas lanjut, Arthur berkata, pihak kementerian menggalakkan semua pihak berkepentingan dalam industri makanan, dari pengeluar hingga pengguna, untuk memeluk inovasi dan amalan lestari.
“Komitmen YC Bersatu untuk memperoleh status BBA dan Bionexus adalah satu naratif yang lebih besar mengenai tanggungjawab korporat.
“YC Bersatu Biotech telah menetapkan contoh yang baik, dan adalah tanggungjawab kita bersama untuk mengikutinya,” ujar beliau lagi.