10 individu dikenal pasti sebar maklumat palsu penghapusan subsidi diesel
PUTRAJAYA – Kira-kira 10 individu dikenal pasti terlibat menyebarkan mesej palsu kononnya subsidi diesel akan dihapuskan bagi penggunaan kenderaan bermula 1 Januari depan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan menyerahkan maklumat itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan susulan.
“MCMC dah kenal pasti lapan hingga 10 penyebar dan kita akan serah kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. Laporan polis juga telah dibuat berkenaan sebaran fitnah itu,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini pada Rabu.
Sebelum ini, wujud beberapa hantaran yang dimuat naik menerusi media sosial berkaitan “subsidi diesel dihapuskan bagi kenderaan diesel bermula 1 Januari 2024”.
Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam menafikan dakwaan di media sosial, yang kononnya subsidi diesel akan dihapuskan bagi penggunaan kenderaan bermula 1 Jan depan.
KPDN dalam kenyataan menegaskan dakwaan itu tidak benar dan sebaliknya kementerian itu sedang melaksanakan projek rintis bagi melihat keberkesanan sistem ‘fleet card’ dan Sistem MySubsidi Diesel, melibatkan enam syarikat yang menerima kuota bagi tangki gelongsor, yang akan tamat tempoh pada 14 Januari 2024.
Menurut kenyataan itu lagi, projek rintis berkenaan sama sekali tidak melibatkan pengguna kenderaan diesel individu.
Fahmi meminta kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang mesej dan kandungan palsu yang dipaparkan media sosial di talian 016-2206262 untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil.