Gangguan mental: Simptom dan cara mengatasinya
STATISTIK terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan hampir 1 bilion individu di seluruh dunia hidup dengan gangguan mental.
Daripada jumlah itu, 14 peratus adalah golongan remaja.
Gangguan mental seperti kemurungan dan kebimbangan juga menyumbang kepada 15.6 peratus pesakit yang kemudian dikategorikan hilang upaya sekali gus menjadikannya punca utama kecacatan di peringkat global.
Selain itu, kadar bunuh diri melebihi 1 dalam setiap 100 kematian dengan 58 peratus berlaku sebelum umur 50 tahun.
Keadaan itu diperburukkan lagi oleh pandemik Covid-19 yang meningkatkan kadar kemurungan dan kebimbangan sebanyak lebih daripada 25 peratus dalam tahun pertama sahaja.
Walaupun permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan mental meningkat, jurang besar masih wujud dalam penyampaian rawatan, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Sebagai contoh, 71 peratus individu dengan psikosis tidak menerima rawatan yang diperlukan dan hanya sekitar 23 peratus pesakit kemurungan di negara maju mendapat rawatan yang mencukupi .
Dalam era yang penuh tekanan dan cabaran, isu berkaitan penyakit mental tidak boleh lagi dipandang remeh. Ini kerana kesihatan mental adalah asas kepada kesejahteraan hidup seseorang.
Namun kekurangan kesedaran dan stigma sosial sering kali menghalang individu daripada mendapatkan bantuan.
Terdapat pelbagai jenis masalah mental, termasuklah kemurungan, kebimbangan (anxiety) dan gangguan bipolar.
Simptom-simptom berikut mungkin menunjukkan tanda-tanda awal:
1. Perubahan mood yang drastik
Individu mungkin mengalami perubahan emosi yang ketara seperti rasa terlalu gembira secara tiba-tiba, diikuti dengan rasa sedih melampau tanpa sebab yang jelas.
2. Masalah tidur
Kesukaran tidur (insomnia) atau tidur berlebihan boleh menjadi tanda tekanan atau gangguan mental.
3. Rasa hilang minat
Kehilangan minat terhadap aktiviti yang pernah digemari adalah tanda biasa kemurungan.
4. Keresahan dan ketakutan berlebihan
Rasa cemas tanpa sebab yang jelas atau berasa takut terhadap perkara kecil mungkin menunjukkan masalah anxiety.
5. Pemikiran untuk mencederakan diri
Jika seseorang kerap bercakap atau berfikir tentang kematian atau mencederakan diri sendiri, ia merupakan tanda bahaya yang memerlukan perhatian segera.
Faktor penyebab
Masalah mental boleh berpunca daripada pelbagai faktor:
1. Tekanan hidup: Masalah kewangan, hubungan atau kerjaya.
2. Sejarah keluarga: Masalah kesihatan mental dalam keluarga boleh meningkatkan risiko.
3. Ketidakseimbangan kimia otak: Keadaan ini boleh menyebabkan gangguan mood seperti kemurungan.
4. Trauma: Pengalaman buruk seperti kehilangan orang tersayang juga boleh mencetuskan gangguan mental.
Cara Mengatasi:
1. Dapatkan sokongan profesional
Berjumpa dengan kaunselor, psikologis atau psikiatri adalah langkah penting untuk mendapat diagnosis dan rawatan yang tepat.
2. Amalkan gaya hidup sihat
Pemakanan seimbang, senaman secara konsisten dan tidur yang mencukupi membantu memperbaiki keseimbangan hormon dan kesihatan mental.
3. Luahkan perasaan
Berbual dengan ahli keluarga atau rakan terdekat dapat mengurangkan tekanan dan memberikan perspektif baru.
4. Amalkan teknik relaksasi
Meditasi, doa atau senaman pernafasan membantu mengurangkan keresahan dan meningkatkan fokus.
5. Elakkan stigma
Jangan malu untuk mendapatkan bantuan. Kesihatan mental sama penting dengan kesihatan fizikal.
Kesimpulan
Masalah mental adalah isu serius yang memerlukan perhatian semua pihak. Dengan kesedaran, sokongan sosial dan rawatan yang tepat, individu yang mengalami masalah mental boleh kembali menjalani kehidupan yang normal dan bahagia.
Kita semua bertanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan memahami agar stigma terhadap isu ini dapat dihapuskan.