Anwar bertemu Najib Mikati, tegaskan sokongan Malaysia untuk Lubnan
RIYADH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati hari ini, menjelang Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab Islam yang bakal berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.
Pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu diadakan ketika Lubnan sedang berhadapan dengan serangan ganas rejim Israel yang telah mengorbankan lebih 2,700 nyawa rakyat Lubnan dan menyebabkan ribuan cedera.
Anwar menegaskan sokongan berterusan terhadap Lubnan dan Malaysia turut terkesan dengan ketegangan di negara itu khususnya selepas serangan Israel yang mencederakan enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) yang bertugas dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
“Malaysia juga sedia untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada Lubnan bagi meringankan beban mangsa yang terjejas akibat serangan tersebut,” katanya dalam satu hantaran di laman X hari ini.
Kedua-dua pemimpin itu juga akan menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab Islam dan Perdana Menteri dijangka membawa mandat Malaysia untuk mengutuk keganasan Israel di Palestin dan Lubnan.
Kehadiran Perdana Menteri di sidang kemuncak itu adalah atas undangan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Muhammad Salman bagi membincangkan perkembangan terkini dan usaha bantuan berterusan untuk Palestin dan Lubnan.