Khaled Nordin sempurnakan sesi kedua Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera
KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan sesi kedua Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) di Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.
Penyempurnaan istiadat tersebut adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF), istiadat ini dilaksanakan bersempena Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-91
Katanya, ia bertujuan menghargai pegawai dan lain-lain pangkat ATM yang berkelayakan di atas semua jasa dan pengorbanan tidak berbelah bahagi yang telah dizahirkan kepada perkhidmatan ATM.
“Sesi kedua istiadat pengurniaan DKAT pada kali ini menyaksikan Menteri Pertahanan telah menyempurnakan penganugerahan bagi tiga kategori Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera kepada 252 penerima.
“Penerima-penerima meliputi pecahan iaitu Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 22 penerima, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 114 penerima dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) kepada 116 penerima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, pada 29 Oktober lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah berkenan menyempurnakan sesi pertama pengurniaan DKAT kepada 100 penerima bertempat di Istana Negara.
Jumlah keseluruhan penerima DKAT bagi tahun 2024 adalah seramai 352 selepas selesai kedua-dua sesi pengurniaan itu.
Turut hadir semasa sesi kedua istiadat penganugerahan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali,
Selain itu, Panglima-Panglima Perkhidmatan, Pegawai Kanan ATM dan Pegawai Kanan Awam Kementerian Pertahanan turut menghadiri sesi tersebut.