Perpecahan PN: Kepimpinan Muhyiddin ditolak, PAS tuntut kuasa
KUALA LUMPUR – Perpecahan dalaman Perikatan Nasional (PN) semakin ketara apabila Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin secara terbuka menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri, sambil mendakwa PAS lebih layak memimpin gabungan itu.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Chua Wei Kiat berkata, situasi tersebut sebagai bukti ketiadaan kepimpinan berwibawa dalam PN.
“Jika PAS menolak Muhyiddin, siapakah calon Perdana Menteri yang mereka cadangkan? Adakah kenyataan itu menunjukkan PN sebenarnya tidak mempunyai sesiapa yang berkaliber untuk memimpin negara?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kenyataan Hashim juga menimbulkan persoalan besar mengenai kepercayaan di antara parti-parti komponen PN, terutama apabila terdapat dakwaan PN cuba menarik Barisan Nasional (BN) keluar daripada Kerajaan Perpaduan dengan menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada pemimpin BN.
Wei Kiat berkata, tindakan itu menunjukkan PN kini berada dalam keadaan terdesak kerana gagal melahirkan pemimpin daripada kalangan mereka sendiri.
“Taktik seperti itu hanya membuktikan bahawa PN tidak mempunyai hala tuju yang jelas dan tidak mampu menawarkan kestabilan kepada negara. Jika mereka tidak dapat menyatukan parti-parti komponen sendiri, bagaimana mereka boleh diharapkan untuk memimpin negara?” katanya lagi.
Sementara itu Wei Kiat memuji Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus fokus kepada dasar membangunkan negara.
“Di bawah Kerajaan Perpaduan, pelbagai dasar progresif telah dirangka untuk merancakkan ekonomi, meningkatkan kebajikan rakyat dan membina masa depan yang mampan,” katanya lagi.
Wei Kiat turut berkata, rakyat perlu menilai kepimpinan PN secara kritikal, terutama dengan perpecahan yang berlaku dalam gabungan itu.
“Perpecahan itu membuktikan PN tidak mampu menawarkan kestabilan mahupun hala tuju yang jelas untuk negara. Rakyat tidak boleh terperangkap dalam permainan politik mereka yang hanya mementingkan kuasa tanpa memikirkan masa depan negara,” katanya lagi.