‘Terima kasih MMU atas penganugerahan ini’ – Cucu Mat Sentol
CYBERJAYA – “Kami terharu kerana walaupun datuk sudah tak aktif dalam bidang seni kerana sudah berumur dan uzur, masih ada pihak mengingatinya. Terima kasih MMU atas penganugerahan ini.”
Demikian kata-kata Ain Akashah Rosarif kepada pemberita hari ini setelah naik ke pentas bagi menerima Anugerah Kehormat Permata Dunia bagi pihak datuknya, pelawak veteran sejak era 1950-an, Mat Sentol.
Mat Sentol, atau nama sebenarnya Abd Rasip Yahya dikurniakan anugerah berkenaan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU) yang berlangsung sejak Jumaat.
Anugerah disampaikan Pro Canselor MMU, Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid kepada cucunya, Ain Akashah Rosarif yang hadir ditemani suami, Alif Najmi Hashim, 24, dan ibu, Zaity Arfah Yunos, 49.
“Saya sangat bangga dengan anugerah diberikan kepada datuk kerana ia pengiktirafan sangat tinggi kepadanya sepanjang berada dalam dunia seni. Sepatutnya bapa mewakili datuk menerima anugerah ini, tapi dia tak dapat hadir kerana tak sihat,” kata Ain Akashah.
Menurutnya, dia terkejut apabila dihubungi bapa saudara, Roslee Rashid, 61, yang menetap di Johor pada Selasa lalu, memintanya mewakili keluarga untuk menerima anugerah itu.
“Terima kasih MMU atas penganugerahan ini yang dapat dijadikan kenangan kepada ahli keluarga lain dalam mengenang usaha dan kegigihan datuk sepanjang terbabit dalam bidang seni,” katanya lagi.